Super Excellent Network Bersama Meraih Kebebasan Finansial Yang Sebenarnya

Jumat, 20 Desember 2013

Cipta bahulu malar segar

Cipta bahulu malar segar


Cipta bahulu malar segar

Posted: 18 Dec 2013 05:20 PM PST

Muda bukan ukuran kejayaan seseorang. Kreativiti, usaha, kerajinan dan peluang memainkan peranan masing-masing dalam menempa kejayaan.

Ada orang berpeluang menempa pengalaman di syarikat orang lain dahulu sebelum membina kejayaan sendiri. Ada juga yang lebih berani dan memulakan segalanya sendiri.

Penulis baru-baru ini melihat potensi seorang peniaga tudung yang sangat kreatif dalam memasarkan produknya walaupun hanya berumur 19 tahun. Sayangnya gadis berbakat dari Kelantan itu tidak mahu ditemu bual kerana katanya kedudukannya yang masih belajar dan tidak dibenarkan keluarganya.

Sayang kerana alasan umur itu digunakan. Begitu banyak orang-orang terkaya di dunia yang memulakan perniagaan walau masih di zaman belajar dan usia yang masih belasan tahun seperti tuan punya Facebook dan juga Ikea.


Walaupun kecewa dengan penolakan itu, tetapi penulis tidak dapat memaksa. Kekecewaan itu akhirnya terubat dengan pertemuan dengan wanita muda ini. Walaupun dia bukan belasan tahun, Siti Akmaliyah Haji Shuhaimi, 27, Pengarah Urusan syarikat Aisyhana Cookies & Food Industries membuat penulis bangga dan kagum dengan perjalanan usaha dan kejayaannya kini.


Ideanya mungkin 'simple', tetapi bagaimana dia mengembangkannya boleh diambil sebagai inspirasi.

Perniagaan yang sudah berlangsung lima tahun dan bertapak di Rawang itu menampakkan hasil yang hebat dan pulangan yang tinggi. Ibu dua anak berasal dari Kuala Lumpur tampil penuh keyakinan ketika membicarakan mengenai diri dan perniagaannya.

Akmaliyah tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM kerana dia mahu terus mencuba di bidang perniagaan. Keyakinannya tinggi.

Lagipun sebagai anak sulung tujuh beradik, hasrat Akmaliyah mahu membahagia keluarga. Lantas usaha dan kreativiti menjadi penyuluh jalan Akmaliyah memulakan segala-galanya.

Tanpa mengenal putus asa, sikap itulah membawanya kepada kejayaan hari ini. Setelah ibu bapanya berpisah, walaupun mengaku bukanlah daripada keluarga susah, Akmaliyah merasakan dia perlu melakukan sesuatu demi masa depan keluarganya yang lebih terjamin.

"Sebelum menemui produk ini, saya terlebih dahulu menyertai bidang lain seperti membuka butik pe-ngantin di Gombak," beritahu Akmaliyah.

Fikirannya terus mencari dan mencari. Apa yang boleh memberinya keuntungan dan perniagaan yang kukuh?

"Saya memikir cara untuk mendapatkan duit de-ngan senang. Dan akhirnya saya nampak prospek yang ada pada bahulu," katanya.

Sesiapa pun tahu tentang kelebihan bahulu yang malar segar dan disukai setiap orang tidak kira usia dan bangsa. Kelebihan itu digunakan oleh Akmaliyah dengan sebaiknya.

Perjalanan 'mencipta' bahulu bukanlah hebat sangat bagi kebanyakan orang. Iyalah, ramai yang tahu menjadi bahulu, sejarahnya, resipinya dan kelebihannya. Bukanlah susah sangat.

Tetapi Akmaliyah mencari sesuatu yang lain.

"Pada 2008 dahulu mungkin tidak sesenang sekarang dalam mendapat resipi yang baik. Sekarang orang biasa mengaitkannya dengan carian dalam talian sahaja. Ketika itu saya mencarinya di alam nyata. Kebanyakan orang pula tidak begitu gemar berkongsi resipi sebenar dan ketika itulah emak saya mencadangkan sebuah gerai bahulu yang boleh dikatakan sedap rasanya. Saya ke situ, membeli bahulu dan melihat bagaimana ia dihasilkan. Saya nampak resipi yang digunakan dan balik rumah saya cuba membuatnya. Cuba, ubah dan tambah sehingga elok."

Itu tidak menghentikan langkah Akmaliyah dalam menghasilkan bahulu yang baik kerana padanya yang penting ialah dapat memenuhi cita rasa majoriti peng-gemar bahulu.

"Saya promosi bahulu ke pasar-pasar demi mendapatkan komen secara terus daripada pelanggan. Dari situ saya mendengar pendapat pelanggan bahulu bagaimana yang disukai mereka. Saya tidak mahu tangkap muat sebaliknya mahu menghasilkan sesuatu yang betul-betul sedap dan menepati selera. Macam sekarang ini orang lebih mementingkan kesihatan jadi bahulu mestilah kurang manis, jadi saya ikut majoriti."

Semangat juang dan kreativiti Akmaliyah memang sangat penulis kagumi kerana dia sentiasa mencari yang terbaik dalam mengembangkan produknya. Dia tahu memang kebanyakan orang telah mempelopori bidang bahulu yang berperisa, tetapi Akmaliyah mahu mencari kelainan yang membezakan produknya yang diberi nama Bahuluhana dengan produk orang lain.

"Saya berpendapat lebih baik Bahuluhana menumpukan sasaran pada pelang-gan yang sukakan variasi. Jadi saya mencipta sehingga 15 perisa semuanya seperti perisa strawberi, pandan, blueberi, oren, coklat urai, cappuccino, kismis selain mengekalkan rasa yang biasa. Yang paling popular dalam kalangan pelanggan kami sekarang ialah perisa pandan, strawberi, cappuccino dan biasa."

Dan nampaknya sentuhan kreatif Akmaliyah menjadi! Memang sebagai pelanggan kita sentiasa mencari variasi agar tampak kelainan.

Peringkat permulaan dia hanya mengeluarkan bahulu cermai yang kecil, tetapi pelanggannya memberitahu mereka juga mahukan yang berbentuk bunga. Jadi Akmaliyah mengikut arah aliran pasaran dengan menghasilkan bahulu bunga pecah 8 yang memenuhi kehendak pelanggannya demi majlis mereka seperti kenduri kendara dan perkahwinan yang dijadikan sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir.

"Bila berubah daripada bahulu bentuk cermai ke bentuk bunga pecah 8, resipinya perlu diterokai lagi sehingga pihak saya mendapat yang sempurna," tegas Akmaliyah dan menambah Bahuluhana tahan sehingga 2 minggu.

"Sebenarnya ketahanan bahulu sangat berkait rapat dengan cara penyediaan seperti yang paling asas iaitu kebersihan pembuatannya. Bahan-bahan mesti berkualiti dan cara tradisional seperti tepung dibakar dulu adalah yang diamalkan dalam penghasilan produk Bahuluhana."

Akmaliyah membawa Bahuluhana ke arah yang lebih profesional seperti peniaga lain dengan menambah pembungkusan yang lebih praktikal. Di dalam kotak nipis yang menarik, Bahuluhana tampil eksklusif.

Kejayaan Bahuluhana membuatkan semangat Akmaliyah semakin tinggi untuk terus melebarkan perniagaannya. Masakan tidak, syarikatnya kini sudah mempunyai 25 pekerja bagi penyediaan bahulu dengan pengeluaran 30 ribu unit seminggu. Membanggakan kerana pelanggan Akmaliyah sudah merentasi Singapura dan Brunei.

Dengan usaha keras berterusan dan sikap merendah diri, tidak mustahil jenama Bahuluhana semakin tersohor di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar